Pulau Besar, Johor atau dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar, merupakan salah satu dari gugusan pulau yang indah di Laut Cina Selatan di persisiran laut Johor, Malaysia. Pulau Besar dikelilingi oleh beberapa pulau lain iaitu Pulau Rawa, Pulau Sibu, Pulau Mensirip, Pulau Hujung dan Pulau Tinggi dan mempunyai pantai berpasir putih yang bersih. Air yang jernih mengelilingi kesemua pantai di pulau-pulau tersebut. Ini antara lain disebabkan ia menghadap ke laut lepas, menjadikan pantainya dilanda ombak yang menghilangkan lumpur dari pasir pantainya.
Bagi memelihara dan memulihara kehidupan laut yang terdapat disekitar perairan pulau tersebut, kerajaan Johor telah mewartakan perairan pulau itu sebagai "Taman Laut". Ia dibuat demi menjaga lebih kurang 60 spesies hidupan marin daripada diancam kepupusan akibat daripada aktiviti-aktiviti manusia seperti selaman skuba, memancing dan sebagainya yang boleh mengancam habitat asli hidupan laut dalam lingkungan 2 batu nautika dari pulau tersebut.
Keunikan lain yang turut memperkayakan khazanah alam di pulau tersebut adalah seperti sayuran liar (ulam-ulaman) yang hijau merimbun, bebatang nyiur (Pokok Kelapa) serta aneka khazanah alam yang terdapat di dalam hutan tropikanya. Di sana terdapat lebih kurang 7 hingga 8 kampung kecil yang menjadi penempatan kepada lebih kurang seratus orang laut (kaum nelayan) yang telah menetap sekian lama disana yang menjadikan pulau tersebut sebagai rumah dan lubuk carian rezeki mereka. Puncak tertinggi di Pulau Besar mencecah ketinggian 2,000 kaki dari aras laut.
Satu keistimewaan yang ada pada pulau tersebut adalah tentang kisah legenda. Kisah ini berkenaan dengan sepasang orang nelayan yang telah bertukar menjadi ikan duyung. Kisah ini agak popular di kalangan penduduk di sana, mereka mempercayai pada suatu hari isteri kepada seorang nelayan sedang sarat mengandung. Dia terlalu mengidamkan beberapa rumpai laut untuk dijadikan hidangan. Selepas makan, dia bertukar menjadi seekor ikan duyung. Suaminya yang berputus hati tentang peristiwa yang berlaku terhadap isterinya itu pun turut memakan rumpai laut yang terdapat dari perairan pulau tersebut, lalu si suami itu pun turut bertukar menjadi ikan duyung. Sehingga sekarang, dikatakan kadang-kala pasangan ikan duyung itu timbul ke permukaan air untuk menjamah dedaun rumpai laut yang terampai di sekitar pantai pulau tersebut.